Terkini

"SAYA MENYANGKA IA ADALAH GEMPA BUMI...."


MIRI – Hari ini menjadi kenangan buat anak kelahiran Limbang, Nurashikin Abdul Rahman apabila eskalator di Lapangan Terbang Miri rosak.

“Saya menyangka ia adalah gempa bumi apabila tiba-tiba suasana kecoh selepas satu bunyi kuat datang tanpa dapat dikesan dari mana dan pada masa yang sama bangunan bergegar,” katanya kepada Bernama di sini malam tadi.

Nurashikin, 22, yang sedang menunggu penerbangan ke Kuching yang dijadualkan berlepas pada pukul 4.40 petang, tertidur semasa kejadian itu berlaku.

“Saya terlalu takut sehingga saya hampir terlupa memakai selipar, berlari sepantas mungkin untuk melihat apa yang berlaku dan apabila saya mendapati ia disebabkan oleh masalah eskalator, saya terasa amat lega,” katanya.

Beliau berkata orang ramai bersesak-sesak untuk mengambil gambar eskalator itu.

Sementara itu, kerajaan negeri Sarawak telah meminta Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) mengganti eskalator di lapangan terbang itu berikutan insiden menakutkan apabila sebuah daripada eskalator mengalami kerosakan teknikal yang serius pada pukul 3.45 petang hari ini.

Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin berkata beliau dimaklumkan oleh pegawai MAHB bahawa lima anak tangga eskalator itu tiba-tiba jatuh tetapi tiada yang tercedera.

“Kali terakhir eskalator itu diselenggara pada 31 Mei 2016, saya telah meminta kesemua tiga eskalator di Lapangan Terbang Miri diganti baharu kerana yang sedia ada sudah terlalu lama,” katanya kepada Bernama.

Lee berkata buat masa ini MAHB telah menutup eskalator yang terjejas itu dan kontraktor sedang membaikinya serta menanti alat ganti.

“Saya difahamkan MAHB dalam proses mengeluarkan tender, diharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya. – BERNAMA
SUMBER : http://gengviral.blogspot.com/
ADS HERE

About Jubah Semalam

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.